BENTUK-BENTUK PERNIAGAAN
Jenis-jenis unit perniagaan dapat dibahagikan kepada :-
- Ditubuhkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (pindaan 1978).
- Perniagaan Perseorangan (milik tunggal)
- Perkongsian
- perkongsian biasa
- perkongsian berhad
- Ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965
- Syarikat Berhad menurut saham
- Syarikat Sendirian Berhad
- Syarikat Awam
- Syarikat Asing
- Syarikat Berhad menurut jaminan
- Syarikat Tidak Berhad
- Ditubuhkan di bawah Akta Parlimen atau Enakmen Kerajaan Negeri
Perniagaan Perseorangan
Ciri-ciri Perniagaan Perseorangan ialah :-
- Penubuhan dan Milikan
- dimiliki oleh seorang individu.
- mudah ditubuhkan dan tidak melibatkan peraturan yang banyak.
- didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dan mendapatkan lesen perniagaan dari pihak berkuasa tempatan.
- modal bermula dari simpanan atau peminjaman oleh pemiliknya sahaja dan biasanya kecil atau terhad.
- Kawalan dan Pengurusan
- diuruskan dan dikawal oleh pemiliknya sendiri.
- bebas membuat dasar dan keputusan
- kejayaan perniagaan bergantung kepada daya usaha dan kebolehan pemilik sendiri dari segi mendapatkan modal dan menjalankan aktiviti pengurusan perniagaan.
- Liabiliti
- liabiliti yang tidak terhad (kegagalan perniagaan seperti bankrap dan sebagainya akan melibatkan harta peribadi).
- bertanggungjawab sepenuhnya ke atas semua risiko perniagaannya.
- secara undang-undang tiada perbezaan antara harta perniagaan dan harta peribadi.
- Pembahagian Untung
- segala keuntungan atau kerugian akan ditanggung sendiri oleh pemilik.
- Bebanan Cukai
- hanya dikenakan cukai pendapatan individu.
Kebaikan perniagaan perseorangan ialah :-
- Modal yang kecil dan mudah dibentuk.
- Mudah dikendalikan kerana saiz yang kecil dan keputusan berada dalam tangan sendiri.
- Mempunyai dorongan untuk berjaya kerana segala keuntungan dan keputusan adalah di tangan sendiri.
- Mempunyai hubungan rapat dengan pelanggan dari segi layanan dan perkhidmatan selepas jualan.
- Kedudukan kewangan boleh dirahsiakan.
- Menjimatkan penggunaan buruh kerana kerja-kerja boleh dijalankan oleh ahli keluarga terdekat sebagai pembantu dalam perniagaan.
Kelemahan perniagaan perseorangan ialah :-
- Modal yang kecil menghalang perkembangan
- Liabiliti yang tidak terhad
- Tiada pembahagian kerja dan pengkhususan
- Kejayaan perniagaan adalah terlalu bergantung kepada kebolehan pemilik.
- Perniagaan tidak berterusan kerana usia perniagaan bergantung atas usia pemilik.
Perniagaan Perkongsian
Ciri-ciri perniagaan perkongsian ialah :-
- Milikan
- perkongsian ditakrifkan sebagai perhubungan antara dua atau lebih orang yang menjalankan perniagaan bersama untuk memperolehi keuntungan.
- bilangan rakan kongsi adalah dalam lingkungan 2 hingga 20 orang (umumnya).
- bagi perkongsian bank atau broker saham, bilangan rakan kongsi tidak melebihi 10 orang.
- bagi perkongsian yang melibatkan sesuatu profession seperti peguam dan akauntan, rakan kongsi adalah tidak melebihi 50 orang.
- perjalanan sesebuah perkongsian adalah ditetapkan di bawah Akta Perkongsian 1961.
- Perniagaan perkongsian juga tertakluk di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.
- Penubuhan
- boleh ditubuhkan secara lisan atau tulisan.
- biasanya membentuk satu persetujuan bersama dalam bentuk surat ikatan perkongsian yang dipanggil perjanjian perkongsian bagi mengelakkan perselisihan.
- kandungan perjanjian termasuklah nama firma, nama kesemua rakan kongsi, jenis dan tempat perniagaan, nisbah pembahagian keuntungan/kerugian, peruntukan hak dan tanggungjawab rakan kongsi, cara menjalankan perniagaan dan bagaimana perkongsian akan ditamatkan.
- satu perkongsian boleh wujud tanpa perjanjian tetapi ianya adalah tertakluk kepada peruntukan di dalam Akta Perkongsian 1961.
- Akta Perkongsian 1961 mengandungi perkara-perkara berikut :-
- untung rugi dibahagikan sama rata.
- tiada bunga bagi modal yang dilaburkan.
- tiada gaji untuk rakan-rakan kongsi.
- pinjaman oleh rakan-rakan kongsi kepada perniagaan akan diberikan bunga 5% setahun.
Jenis-Jenis Perniagaan Perkongsian
- Terdapat dua jenis perkongsian :-
- perkongsian biasa
- perkongsian berhad
- Dalam perkongsian biasa, kesemua rakan kongsi adalah rakan kongsi biasa di mana mempunyai liabiliti yang tidak terhad, kuasa dan tanggungjawab yang sama serta berhak menguruskan perniagaan.
- Dalam perkongsian berhad, rakan-rakan kongsi adalah mempunyai liabiliti yang terhad kepada jumlah modal yang dilaburkan dan tidak mempunyai kuasa dalam pengurusan perniagaan. Dalam perkongsian ini, mesti ada sekurang-kurangnya seorang rakan kongsi biasa yang menanggung semua liabiliti perniagaan dan bertanggungjawab terhadap pengurusan perniagaan.
Jenis-Jenis Rakan Kongsi
- Rakan Kongsi Aktif
- mengambil bahagian yang aktif dalam pengurusan dan biasanya dibayar gaji.
- Rakan Kongsi Lelap
- hanya menyumbangkan modal dan tidak mengambil bahagian di dalam pengurusan perniagaan.
- Rakan Kongsi Nominal (Namaan)
- membenarkan namanya digunakan di dalam perniagaan sebagai rakan kongsi tanpa melaburkan modal. Ia tidak menerima pembahagian keuntungan tetapi liabilitinya adalah tidak terhad (kerana namanya didaftarkan sebagai rakan kongsi).
- Rakan Kongsi Berhad
- mempunyai liabiliti terhad kepada jumlah modal yang dilaburkan sahaja dan tidak ada kuasa pengurusan tetapi boleh memeriksa buku-buku rekod dan akaun perniagaan.
Sebab-sebab Perniagaan Perkongsian Dibubarkan
Sesuatu perkongsian boleh dibubarkan kerana salah satu sebab yang berikut :
- Kematian, kebankrapan atau ketidaksiuman salah seorang pekongsi.
- Tercapainya tujuan penubuhan perkongsian itu.
- Berakhirnya tempoh masa perkongsian.
- Tercetus peperangan.
- Sebagai akibat tindakan guaman atau dengan perintah mahkamah untuk membubarkannya.
Kebaikan Perniagaan Perkongsian ialah :-
- Lebih modal dapat dikumpulkan.
- Dapat menggunakan kepakaran dari rakan-rakan kongsi yang berkemungkinan mempunyai kemahiran, pengetahuan dan pengalaman yang berlainan.
- Pengkhususan kerja dapat dilakukan dengan adanya pelbagai kemahiran dan kepakaran tersendiri dari rakan-rakan kongsi.
- Risiko perniagaan dapat disebarkan (dikongsi) antara rakan-rakan kongsi.
- Persaingan dapat dikurangkan melalui perkongsian, dengan itu perbelanjaan untuk persaingan dapat diagihkan bagi meningkatkan jualan dan memperkembangkan perniagaan.
- Perkongsian masih lagi mudah untuk ditubuhkan berbanding penubuhan syarikat atau koperasi. Ianya hanya perlu didaftarkan dengan Pendaftar Perniagaan dan mendapatkan lesen perniagaan dari pihak berkuasa tempatan.
Kelemahan Perniagaan Perkongsian ialah:-
- Berlaku salah faham atau perselisihan antara rakan kongsi dan ini akan menjejaskan rancangan dan perjalanan perniagaan serta boleh membawa kepada pembubaran perkongsian.
- Liabiliti yang biasanya tidak terhad akan menyebabkan individu / rakan kongsi kehilangan harta persendirian jika perniagaan menghadapi masalah dalam pembayaran balik hutang piutangnya.
- Kesilapan dari seorang rakan kongsi akan mengikat rakan-rakan kongsi yang lain. Ini kerana setiap rakan kongsi mempunyai tanggungjawab yang sama terhadap perkongsiannya. Segala kerugian akan ditanggung bersama walaupun diakibatkan oleh hanya seorang rakan kongsi.
- Perniagaan perkongsian adalah tidak berkekalan. Jika seorang rakan kongsi menjadi tidak siuman, bankrap atau mati, perkongsian mungkin terpaksa dibubarkan.
- Pengumpulan modal adalah masih terhad dalam lingkungan maksimanya 20 orang sahaja. Maka perkembangan perniagaan adalah bergantung kepada sumber modal yang terhad ini.
Syarikat
Syarikat yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965 adalah merupakan badan korporat yang mempunyai entiti tersendiri di sisi undang-undang.
Ciri-ciri syarikat ialah :-
- Hak dan Tanggungjawab
- mempunyai hak dan tanggungjawab tersendiri (berasingan dari pemiliknya/ pemegang saham).
- boleh memiliki harta sendiri
- boleh mendakwa dan didakwa
- bertindak (pengurusan) menerusi pengurus-pengurus yang digajikan oleh syarikat.
- Jangka Hayat
- tidak bergantung kepada hayat pemilik atau pemegang sahamnya.
- mempunyai jangka hayat yang berterusan selagi tidak dibubarkan oleh pemilik/ pemegang saham atau oleh undang-undang.
- Tanggungan
- tanggungan oleh pemilik adalah terhad kepada jumlah sumbangan saham.
- Ahli-ahli
- mestilah sekurang-kurangnya mempunyai dua orang ahli yang mempunyai alamat bermastautin di Malaysia.
Jenis-Jenis Syarikat
- Syarikat Berhad Menurut Saham
- tanggungan ahli-ahli terhad mengikut jumlah yang belum dibayar ke atas saham yang dimilikinya.
- Syarikat Berhad Menurut Jaminan
- tanggungan ahli-ahli adalah terhad mengikut jumlah yang dipersetujui oleh ahli-ahli di dalam Tataujud dan Tataurus Syarikat.
- Syarikat Tidak Berhad (tidak terhad; contoh broker saham dan arkitek)
Kategori Syarikat Berhad Menurut Saham
Syarikat bentuk ini mempunyai modal saham dan ianya boleh dikategorikan kepada :-
- Syarikat Sendirian Berhad (Private Company)
- Syarikat Awam (Public Company) - tidak dibincangkan
- Syarikat Asing (Foreign Company) - tidak dibincangkan
Syarikat Sendirian Berhad
Ciri-ciri syarikat sendirian berhad ialah :-
- Bilangan ahli/pemegang saham mestilah sekurang-kurangnya 2 orang tetapi tidak boleh melebihi 50 orang pada satu-satu masa.
- Ada kuasa tertentu untuk memindahkan milik saham ahli-ahli.
- Pelawaan pembelian saham atau debentur tidak boleh dilakukan kepada orang ramai.
- Tidak boleh mempelawa orang ramai untuk mendepositkan wang.
- Halangan-halangan ini adalah telah diperuntukan di bawah Seksyen 15(1) Akta Syarikat 1965 dan mesti dinyatakan di dalam Tataurus Syarikat.
- Mesti menggunakan perkataan "Sdn. Bhd." atau "Sendirian Berhad" di penghujung nama perniagaanya.
Kehendak-kehendak Wajib bagi syarikat sendirian berhad ialah :-
- Tataujud Syarikat (Memorandum of Association)
- Tataurusan Syarikat (Articles of Association)
- Modal Saham
- yang dibenarkan
- yang berbayar
- Ahli/Pemegang Saham
- Lembaga Pengarah
- Setiausaha
- Juruaudit
- Pejabat yang didaftarkan
- Materi Syarikat
- Power of Attorney (Surat Kuasa)
Kelebihan syarikat sendirian berhad ialah :-
- Mudah mendapatkan modal melalui penukaran hak milik saham.
- Pemegang-pemegang saham dilindungi oleh perundangan.
- Pemilik saham tidak dibebankan dengan tanggungjawab pengurusan perniagaan.
- Tanggungjawab pemilik/pemegang saham adalah terhad kepada sumbangan modal sahaja.
- Hayat syarikat terjamin kerana syarikat tidak perlu dibubarkan oleh sebab kematian atau penarikan diri seorang pemegang saham.
- Potensi mengembangkan perniagaan adalah luas.
- Syarikat adalah satu entiti yang berasingan dan oleh itu ia boleh didakwa dan mendakwa di atas namanya sendiri.
Kelemahan syarikat sendirian berhad ialah :
- Perjalanan operasi adalah dalam kawalan pendaftar syarikat.
- Saham syarikat tidak boleh dijual beli melalui pasaran saham.
- Berbagai jenis cukai terpaksa dibayar.
- Laporan kewangan perlu diaudit oleh juruaudit yang bertauliah dan dokumen-dokumen mestilah lengkap dan dikemaskinikan.
No comments:
Post a Comment